Sunday 4 October 2015

Surah Ad-Dukhan


بِبِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم
  Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Post hari ni saya nak kongsikan sedikit berkenaan cuaca jerebu yang dah beberapa hari ini kurang memuaskan (nak bernafas pun sesak dgn mask bagai).
 Berikut adalah bacaan ipu terkini (5 Oktober 2015) seperti di bawah :-

sumber : berita Awani

Sedikit sebanyak teringat saya tentang surah Ad-Dukhan. Apa kaitannya dengan surah Ad-Dukhan. Jom kita baca lagi...

   SURAH AD-DUKHAN 
Surah Ad-Dukhan (bahasa Arab:الدخان) adalah surah ke 44 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang terdiri atas 59 ayat. 

Dinamakan Ad-Dukhan kerana kata Ad-Dukhan yang terdapat pada ayat 10 yang bererti ‘Kabut, Jerebu atau Asap’.

Ia mengandungi amaran Allah SWT terhadap kaum kafir musyrik yang menetang Nabi Muhammad SAW bahawa mereka akan ditimpakan azab sengsara semasa langit membawa asap kemarau yang menyebabkan kebuluran yang amat dashyat.


Menurut riwayat Bukhari secara ringkas dapat diterangkan sebagai berikut:

Orang-orang kafir Makkah telah melampaui batas dalam penentangan dan menghalangi agama Islam,  dengan menyakiti dan mendurhakai Nabi Muhammad SAW, kerana itu Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT agar diturunkan azab. Sebagaimana Doa Nabi Yusuf a.s. dikabulkan Allah ke atas orang-orang yang derhaka kepada Baginda a.s. dengan musim kemarau yang panjang, sehinggakan orang-orang kafir memakan tulang dan bangkai kerana kelaparan.

Mereka selalu menengadah ke langit mengharap pertolongan Allah SWT, tetapi tidak satupun yang mereka lihat kecuali kabut jerebu yang menutupi pandangan mereka.

Akhirnya mereka datang kepada Nabi, agar Nabi memohon kepada Allah supaya hujan diturunkan. Setelah Allah SWT mengabulkan doa Nabi dan hujan diturunkan, mereka kembali kafir seperti asal, kerana itu Allah menyatakan bahawa mereka nanti akan diazab dengan azab yang pedih.


Menurut tafsir Ahmad Sonhadji,

 " Surah ini diturunkan di Makkah selepas turunnya surah az-Zukhruf, Ad-Dukhan ertinya asap. Dinamakan surah ini Ad-Dukhan kerana Allah menjadikan asap tebal seperti kabus hitam yang menutupi langit menyebabkan cuaca gelap bagi menakutkan atau memberi peringatan kepada yang tidak mahu percaya kepada hari kiamat dan pembalasan; " sebagaimana yang Allah nyatakan dalam ayat 10 dalam surah ini;

Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat). (Ad-Dukhan; Ayat:10)


  KELEBIHAN DAN FADHILAT SURAH AD-DUKHAN
  Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka   yang mengamalkan membaca surah Ad Dukhan ini, diantaranya:

1.      Dari Khalil bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Di dalam Al Quran terdapat 7 surah yang dimulai dengan Haa Miim, akan datang di depan setiap pintu neraka jahanam dan memohon kepada Allah SWT dengan katanya; “Ya Allah! Janganlah Dikau masukkan ke dalam neraka ini orang yang percaya kepadaku dan membacaku.” (HR: Al Baihaqi).

2.      Daripada Zaid Ibnu Haritsah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Zayyad;“Sesungguhnya aku simpan sesuatu, maka apakah ia?. Maka Nabi SAW simpan baginya surah Ad-Dukhan, maka baginda bersabda dia ialah (Ad-Dukhan) dan bersabda lagi; Pergilah. Masyaallah, kemudian dia pergi”.


3.      Dari Abi Ja’far r.a., beliau berkataRasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca surahAd-Dukhan dalam solat-solat fardhu dan nafilahnya (sunatnya), maka Allah akanmembangkitkannya bersama orang-orang yang mendapatkan penjagaan Allah pada hari Kiamat, menaunginya di bawah Arsy-Nya, menghisabnya dengan mudah dan memberi kitab (catatan amal) nya dari sebelah kanannya.” (HR: Abu Hamzah Tsumali)


FADHILAT SURAH AD-DUKHAN DI MALAM JUMAAT

1.       Daripada Abi Hurairah r.a berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa membaca “Haa Miim – Ad Dukhan” pada malam Jumaat; maka di beri keampunan baginya”. (HR: Ibnu Katsir).

2.       Dari Umamah pula menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:  “Sesiapa yang membaca surah Ad Dukhan pada malam atau hari Jumaat maka Allah akan membinakan sebuah rumah dalam syurga.” (HR: At Tabrani).


3.       Disebutkan dalam tafsir al-Burhan, dari Nabi SAW bersabda; “Orang yang membacanya (surah ad-Dukhan) pada malam Jumaat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”  Baginda SAW juga bersabda, “Orang yang membaca surah ad-Dukhan pada malam Jumaat akan dimintakan ampun (atas dosa-dosanya) menjelang paginya oleh tujuh puluh ribu Malaikat.”


  MEMBACA SURAH AD-DUKHAN, diampunkan oleh Malaikat

1.       Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca Ad-Dukhan setiap malam, maka tujuh puluh ribu (70,000) malaikat memohon ampun untuknya.” (HR. Tirmidzi)

2.       Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah “Haamim – Ad Dukhan” pada waktu malam; maka esoknya 70 ribu malaikat akan meminta ampun baginya“. (HR.Ibnu Katsir)


3.       Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca Ad-Dukhan di waktu malam, maka 70.000 malaikat memohon ampun untuknya.” (HR. Tirmidzi)


 KHASIAT AYAT-AYAT SURAH AD-DHUKAN

    Mengamalkan membaca keseluruhan surah Ad-Dukhan ini, akan terselamat dari segala gangguan.

µ  Khasiat ayat 1-8          – Membantu membinasakan musuh.

µ  Khasiat ayat 12           – Dijauhkan daripada ditimpa bala.


µ  Khasiat ayat 59           – Dapat membantu memenangi berhujah.

    Mudah-mudahan kita sentiasa dapat membaca surah Ad-Dukhan bersekali dengan Surah      Yasin, pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar. Surah Ad-Dukhan  yang mengandungi 59 ayat ini dikaitkan dengan memohon keampunan dan elok difahami erti dan    maksudnya. Dan istimewanya membaca Surah Ad-Dukhan juga, Malaikat akan memohon ampun  untuk  pembacanya.


والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Semoga dapat menjadi teladan dan panduan buat kita semua.
Terima kasih kerana sudi membaca :) 

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain.
Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat.
Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
Sedekah/amal jariahnya.
Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

No comments:

Post a Comment