Tuesday, 22 September 2015

The Power of Doa

- DOA -

بِبِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.
Segala puji bagi Allah s.w.t atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam.
Mohonlah kepada Allah s.w.t tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan iman.
Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati.

Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w...


 
Pengenalan: Doa Senjata Orang-Orang Mukmin

Pengertian Doa

Doa merupakan ibadah rohaniah yang paling besar ertinya dalam Islam, di mana setiap insan akan merasakan betapa tingginya penghargaan dan pergantungan dengan kebesaran dan keagungan Allah S.W.T., setelah dilakukan usaha dan ikhtiar kemudian melakukan permohonan dengan penuh khusyu’ dan tawaduk, disertai dengan hati dan jiwa yang tenang dan mengharapkan sesuatu dan Allah Yang Maha Agung.
Kerana Dialah tempat kita memohon ampun dan kemaafan.

Firman Allah:
“Engkau sahaja (Ya Allah) kami sembah. Dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”. (al-Fatihah ayat 5)

Kalimah “doa” ialah kalimah yang banyak terdapat di dalam al-Quran dan mempunyai pengertian yang banyak pula. Mengikut pengertian ulama’ “doa” itu bermakna permohonan, ibadah, memuji, percakapan, meminta pertolongan dan sebagainya sesuai dengan tujuan susunan kalimah yang diucapkan.


Antara hadith berkaitan Doa

“Doa” itu adalah ibadah. - (Riwayat Ahmad)

Mafhumnya: Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah
bersabda: 

“Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab (ketika berdoa) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata :
      Amin ! Dan bagi engkau kebaikan yang sama”  
     -(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi.”                                                          - (HR Hakim)
  
Dari Abu Hurairah ia berkata : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :
 “ Tiga golongan yang permohonannya tidak akan ditolak, iaitu orang yang sedang berpuasa sampai dia berbuka ; seorang imam yang adil ; dan seorang yang sedang teraniaya , maka permohonannya diangkat oleh Allah sampai ke angkasa dan dibukakan pintu-pintu langit untuk dirinya ; lalu Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Tinggi berfirman : “ Demi kejayaan-Ku , pasti Aku akan menolongmu , walaupun beberapa saat kemudian .”

-          ( HR Ahmad dan Tirmizi dan ia mengatakan hadith ini hasan )

Dari Salman Al-Farsi r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya dihadapan Allah, memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong". 
-          (HR Tirmizi)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan". 

-          (HR Tirmizi)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud :

"Mohonlah kepada Allah s.w.t keampunan serta kesejahteraan. Sesungguhnya kurniaan yang terbaik untuk seseorang itu selepas mendapat keyakinan ialah mendapat kesejahteraan hidup." 
-          (HR Tirmizi)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
"Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan".
-          (Riwayat Hakim dan disahkan oleh Adz Dzahabi)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 
"Doa tidak akan ditolak diantara azan dan iqamat".
-          (Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
"Seorang hamba paling hampir kepada Tuhannya adalah ketika sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa".
-          (Riwayat Muslim An-Nasa'i, Abu Daud dan Ahmad)


Kekuatan Jiwa

Jika dinilai dan aspek psikologi berdoa itu mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap perkembangan kejiwaan. Berdoa membuatkan jiwa kita kuat dan tenteram, menambahkan semangat berjuang (al-jihad) dan memberikan penghargaan kepada manusia yang berdoa itu.
Pengaruh doa amat luas sekali, di mana berdoa itulah yang mendorong manusia untuk mencapai suatu cita-citanya, mengatasi segala macam aneka bentuk kesulitan yang merintangi di jalan kehidupan yang dilaluinya.

Kata-kata doa yang diucapkan dan lubuk hati dengan penuh kusyuk yang hanya dipohonkan (ditujukan) ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa akan dikabulkan oleh Allah S.W.T. dan aspek psikologi berdoa itu mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap perkemban kejiwaan. Berdoa membuatkan jiwa kita kuat dan tenteram, menambahkan semangat berjuang (al-jihad) dan memberikan penghargaan kepada manusia yang berdoa itu.

Doa diibaratkan sebagai radio aktif yang mengandungi sumber kuasa (tenaga) yang bercahaya dan membangunkan. Di dalam diri manusia apabila ia sedang berdoa bererti manusia itu berusaha untuk menambahkan tenaganya yang terbatas dengan jalan kembali kepada “Sumber Tenaga” yang tidak ada batasnya itu.

Apabila manusia berdoa maka manusia berhubung dengan tenaga penggerak yang menggerakkan alam semesta, manusia berdoa supaya sebahagian daripada kekuatan itu dicurahkan untuk keperluan manusia.

Memohon harapan

Berdoa ialah jalan mengatasi kekurangan manusia kerana berdoa ialah “Memohon kepada ‘Allah” untuk menyampaikan hajat kita disamping usaha yang bersungguh-sungguh, Insya-Allah apa yang kita pohon akan dikabulkan Allah S.W.T.

Doa seperti itu, ialah kepercayaan yang sangat teguh serta harapan yang sangat dalam, bahawa Allah akan menjauhkan segala halangan yang mendalangi tercapainya maksud kita dan hanya Allah dapat memberikan petunjuk tentang sebab-sebab yang nyata dan tersembunyi yang tidak jelas kelihatan oleh kita.

Berdoa merupakan fitrah manusia ianya ialah satu hajat rohaniah yang diperlukan dalam kehidupan manusia itu sendiri.

Dengan demikian dalam kalimah doa itu tersimpan berjuta-juta kekuatan rohaniah yang membangunkan, setiap manusia itu mempunyai tujuan pokok dalam kehidupannya yang mengarahkan seluruh fikirannya membimbing seluruh perbuatan dan harapannya di samping berusaha selama sebab dan helah masih dapat kita usahakan.

Islam datang untuk memperbaiki akhlak dan jiwa manusia serta mengangkatkan kesempurnaan yang mungkin baginya, Islam menjelaskan tujuan akhir kepada manusia sehingga manusia bergerak menuju cita-citanya yang luhur.

Doa Merupakan Fitrah Manusia

Doa yang kita maksudkan di sini ialah permohonan atau permintaan iaitu permohonan seseorang hamba kepada Tuhannya, Allah Yang Maha Pencipta. Pada hakikatnya doa itu adalah percakapan seseorang individu atau jemaah yang dihadapkan kepada Allah S.W.T.

Berdoa merupakan fitrah manusia, ianya ialah satu hajat rohaniah yang diperlukan dalam kehidupan manusia itu sendiri, lebih-lebih lagi ketika ditimpa musibah kesulitan dan lain-lain, tetapi bukanlah bererti berdoa itu hanya waktu ditimpa kesulitan atau kesusahan sahaja, bahkan hendaklah sentiasa diucapkan baik waktu susah mahupun di waktu senang ibarat aliran darah yang mengalir dan denyutan nadi yang menggerakkan seluruh tubuh badan kita. Allah sangat-sangat mencela sikap manusia yang berdoa kepadanya di kala ia mendapat kesusahan sahaja, tetapi apabila keadaannya menjadi senang, jangankan hendak berdoa malah terus melupakan Allah S.W.T. yang telah mengumiakan nikmat-nikmat yang banyak.

Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berdoa dan carilah atau bacalah doa-doa yang Al-Ma’thurat yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, telah disusun khusus oleh ulama-ulama seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab al-Azkar yang ditulis oleh Imam Nawawi.


Waallahualam.

Sekian.
Terima kasih kerana membaca J

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain.
Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat.
Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
Sedekah/amal jariahnya.
Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment