Tuesday, 22 September 2015

Hari ini Hari Arafah

بِبِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.
Segala puji bagi Allah s.w.t atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam.
Mohonlah kepada Allah s.w.t tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan iman.
Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati.
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w...

Alhamdulillah diberikan nafas dan kesihatan yang baik harini. Sempena hari ini 23 September 2015 bersamaan 9 Zulhijjah 1436, hari ini adalah hari wukuf di Arafah bagi yang muslimin muslimat yang sedang mengerjakan haji.
Jadi ingin sekali sy berkongsi dari apa yang saya baca dan ketahui. Jom kita tengok apa maksud arafah dan kenapa bila kita berpuasa sunat arafah hari ini puasa ini akan menggugurkan dosa kita dua tahun iaitu dosa-dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. 
Allahuakhbar, Allah Maha Pemurah Lagi Maha Menyanyangi.



HARI ARAFAH


Pengertian Arafah


Arafah berasal dari perkataan arab, ‘arafa yang bermaksud kenal. Hari ‘Arafah boleh diertikan sebagai hari perkenalan atau ta’aruf. Hari ‘Arafah lebih signifikan buat para jemaah haji kerana ia melibatkan rukun haji kedua iaitu wuquf di ‘Arafah. Wuquf di ‘Arafah bermaksud berhenti seketika di ‘Arafah antara waktu Zuhur 9 Dzulhijjah hinggah terbit fajar hari Nahr iaitu 10 Dzulhijjah. ‘Arafah adalah sebuah padang yang terletak di luar Tanah Haram dan jauhnya dari Mekah lebih kurang 12 batu atau 18 kilometer. Masa yang terbaik untuk berwuquf adalah antara sebahagian dari hari kesembilan hingga sebahagian malam kesepuluh Dzulhijjah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi s.a.w yang bermaksud : “Barangsiapa yang berada di ‘Arafah sebelum terbit fajar pada hari kesepuluh Dzulhijjah, maka dapatlah haji itu.”

Sejarah ‘Arafah

Arafah merupakan gambaran padang Mahsyar, yang nantinya semua makhluk dikumpulkan di sana sebelum melangkah ke syurga atau neraka. Kehadiran kita di Arafah memberi erti dan makna akhirat dengan Mahsyarnya, sekaligus merenunginya untuk bersiap-siap menghadapi itu.

Di Arafah terdapat Jabal Rahmah (Bukit Kasih Sayang) di Gunung Arafat yang menjadi tumpuan umat Islam berdoa. Jabal Rahmah merupakan tempat wahyu terakhir kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda melakukan wukuf. Wahyu tersebut bermula dalam surat Al-Maidah.

Pada Hari Arafah, di sekitar Masjid Namirah iaitu lokasi bersejarah yang menjadi tempat perkhemahan Rasulullah SAW dan sahabat baginda sebelum tiba waktu untuk Wukuf, akan kelihatan ribuan manusia.

Jabal Rahmah tempat pertemuan Adam dan Hawa

Arafah juga merupakan tempat bertemunya Adam dan Hawa setelah beratus tahun saling mencari di muka bumi . 9 Dzulhijjah dinamakan sebagai hari ‘Arafah sebagai simbolik kepada tarikh Nabi Adam a.s ‘diperkenalkan’ (dipertemukan semula) dengan Siti Hawa a.s setelah terpisah selama 200 tahun. Pertemuan tersebut dilakukan di tempat yang bernama Jabal (bukit) Rahmah.

Di Jabal Rahmah juga didirikan sebuah tugu putih bagi mengenang pertemuan antara Nabi Adam a.s dan Hawa setelah mereka dikeluarkan dari syurga dan dipisahkan di dua daratan.

Tarikh ini juga menjadi saksi pertemuan antara Nabi Ibrahim a.s dengan anaknya Nabi Ismail a.s dan isterinya Siti Hajar setelah kedua mereka ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir sehinggalah anaknya Ismail meningkat dewasa.

Dua kisah cinta yang digabungkan pada satu tarikh, diabadikan oleh Iiahi sebagai pedoman buat seluruh umat Islam. Kisah ini sememangnya jauh lebih tragis dari cerita-cerita cinta yang sering diagung-agungkan masyarakat kini. Namun, masyarakat Islam hari ini lebih mengingati tanggal 14 Februari yang dianggap sebagai Hari Kekasih berbanding tanggal 9 Dzulhijjah yang sebenarnya jauh lebih layak untuk digelarkan sebagai Hari Kekasih buat seluruh umat Islam. 

Bukan sekadar pengabadian kepada sebuah kisah cinta, pada tarikh ini juga Allah menawarkan ‘mega sale’ buat seluruh hamba-hambaNya bermula seawal 1 Dzulhijjah sehingga hari ke-9 Dzulhijjah yang boleh dianggap sebagai hari kemuncak. Namun, berapa ramaikah di antara kita hari ini yang mengamati roh di sebalik Hari ‘Arafah?


Arafah Sebaik-Baik Hari

Hari Arafah adalah antara hari-hari yang paling afdal di sisi Allah SWT. Daripada Jabir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”

Berwukuf di Padang Arafah adalah kemuncak ibadah haji dan ia merupakan Rukun Haji yang utama kerana ia membezakan Haji dan Umrah. Pada umrah, tiada wukuf di Arafah. Rasulullah bersabda : “Haji itu adalah wukuf di Arafah.”

Hari Arafah juga adalah hari Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakannya daripada api neraka. Keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Pandanglah langit Arafah. Renungilah bahawa pada hari yang mulia itu Allah SWT sedang memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah dan membangga-banggakan umatnya yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatNya di langit.

Disebutkan dalam hadith qudsi bahawa Allah berfirman bahwa :
“Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang ke sini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku”

Allah sangat memuliakan hari wukuf di Arafah. Hari itu, Allah mendekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang wukuf di Arafah untuk mendengarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka. Nabi Muhammad bersabda :

“…….Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang di Arafah. Dengan bangga Ia bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu ?”

Pada hari itu, Allah senang sekali jika kita berdoa kepada-Nya. Ia mengabulkan semua doa mereka di sana, sebagaimana tersebut dalam hadith yang lain, sabda Rasulullah saw :

“Di antara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah” (disinadkan oleh Ja’afar bin Muhammad sampai kepada Rasulullah saw)

Bahkan Allah murka ketika manusia tidak yakin dosanya diampunkan di Arafah, seperti sabda Rasullullah saw :

“Yang paling besar dosanya di antara manusia adalah seseorang yang berwukuf di Arafah lalu berprasangka bahwa Allah tidak memberinya ampun”

Demikian agung dan mulianya hari Arafah ini, meski wukuf hanya beberapa jam saja. Sungguh sangat penting berdoa di Arafah, disaksikan dari dekat oleh Allah SWT dan dibangga-banggakanNya kita di depan para malaikatNya.

“Hai malaikat-Ku ! Apa balasan (bagi) hamba-Ku ini, ia bertasbih kepada-Ku, ia bertahlil kepada-Ku, ia bertakbir kepada-Ku, ia mengagungkan-Ku, ia mengenali-Ku, ia memuji-Ku, ia berselawat kepada nabi-Ku. Wahai para malaikat-Ku ! Saksikanlah, bahwasanya Aku telah mengampuninya, Aku memberi syafaat (bantuan) kepadanya. Jika hambaku memintanya tentu akan Ku berikan untuk semua yang wukuf." – (Imam al-Ghazali)


Hari Arafah Menjadi Hari Peringatan

Hari Arafah seharusnya menjadi hari peringatan buat semua umat Islam akan musuh sebenar mereka iaitu iblis yang tidak pernah berputus asa untuk menghasut anak cucu keturunan Nabi Adam a.s seperti mana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Iblis berkata, kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari hadapan, dari belakang, dari kiri dan dari kanan mereka, dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. (Allah) berfirman, keluarlah kamu dari sana(syurga) dalam keadaan terhina dan terusir ! Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka yang mengikutimu, pasti akan Aku isi neraka Jahannam dengan kamu semua.” (Al-A’raf :16-18)
Oleh kerana itu, Hari Arafah adalah hari yang terbaik bagi umat Islam untuk bermuhasabah diri, menganalisa kembali amalan-amalan yang telah dilakukan, apakah mungkin kita tergolong di kalangan orang-orang yang telah diperangkap dengan tipu daya iblis ? Atau, adakah kita sudah tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang ikhlas ? Yang telah disebut oleh iblis sebagai orang yang selamat dari tipu helahnya.


Hadiah dari Allah di Hari Arafah

Menyelami roh Hari Arafah buat mereka yang tidak pergi menunaikan haji. Berikut adalah keistimewaan Hari Arafah berdasarkan kepada hadith-hadith Nabi s.a.w:-

1. Hari Maghfirah ( keampunan)

Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, adalah sangat dituntut untuk berpuasa di Hari 'Arafah berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w, "Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? maka jawab Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dikaffarah(ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang." 

Di dalam riwayat lain Nabi s.a.w bersabda:

صيام يوم عرفة إني أحتسب على الله تعالى أن يُكفِّر السنة التي بعده والسنة التي قبله
"Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat Tirmudzi].

Antara hadith lain, Habsah pernah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meninggalkan pusa 9 Dzulhijjah, bahkan baginda pernah menyebut: "Tidak ada hari yang paling mulia yang dituntut umatku berpuasa melainkan puasa bulan Ramadhan dan puasa pada 9 Dzulhijjah."

Jumhur ulama mengatakan bahawa adalah mustahab berpuasa bagi mereka yang bukan jemaah Haji dan tidak digalakkan bagi mereka yang sedang menunaikan haji berdasarkan kepada hadith dari Umm Fadhil (isteri al-Abbas):

أنهم شكوا في صوم النبي صلى الله عليه وسلم يوم عرفة، فأرسلت إليه بلبن، فشرب، وهو يخطب الناس بعرفة

Maksudnya; "Bahawa mereka ragu akan puasa Nabi saw pada hari Arafah, maka dikirim kepada baginda susu lalu (baginda) meminumnya, dan beliau sedang berkhutbah di Arafah" - (Hadith riwayat Muttafaqun 'alaih)

Ia menunjukkan tidak disukai (tidak digalakkan) berpuasa bagi mereka yang berwuquf disaat yang agung ini, dan hikmah tidak berpuasa kerana kemungkinan akan melemahkan mereka dari melakukan zikir dan do'a, dan melakukan amalan-amalan haji.

2. Musatajab Do'a

Daripada Sayyidatina 'Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiada daripada hari yang lebih ramai dibebaskan Allah hamba-hambaNya dari api neraka melainkan pada Hari 'Arafah, dan sesungguhnya Dia mengasihani dan bangga di hadapan malaikat sambil bertanya: Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu?"
(Hadith riwayat Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Darqatni, Hakim dan Al-Baihaqi)

Allah mendengar doa hamba-hambaNya dan memakbulkan doa-doa mereka yang memuliakan hari 'Arafah. Oleh itu, mintalah apa sahaja daripada Allah.

3. Terlepas daripada seksaan neraka

Daripada Jabir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila tiba Hari 'Arafah maka sesungguhnya Allah telah memuji dengan para malaikat dan berfirman: "Lihatlah kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepadaKu dengan berdebu dalam keadaan berduyun-duyun daripada setiap pelusuk, Aku bersaksi di hadapa kamu (malaikat) bahawa Aku telah mengampuni mereka." Maka kata malikat: Sesungguhnya ada di kalangan mereka yang telah pun baligh. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka." Sabda Rasulullah s.a.w: "Maka tiada daripada hari lebih ramai orang yang bebas daripada neraka daripada Hari 'Arafah."
(Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

4. Turunnya rahmat Allah

Nabi s.a.w pernah menyatakan, hari 'Arafah adlah hari yang palig dibenci oleh syaitan. Syaitan-syaita akan menjadi lemah kerana besar dan luasnya rahmat yang Allah turunkan untuk sekalian ahmba-hambaNya yang beramal soleh.
Hari dibukanya pintu langit, dilimpahkan kerahmatan, dan dibukanya pintu penerimaan yang seluas-luasnya oleh Allah untuk hambaNya. Tidak ada hari yang lebih banyak rahmat dan berkat, lebih terang cahayanya serta lebih luas penerimaan dari Allah selain dari hari itu. Tidak ada waktu syaitan menjadi terlebih keji, terlampau hina, tersangat kecewa dari hari-hari tersebut kerana kurniaan yang sangat agung dari Allah Ta'ala terhadap hambaNya.

Demikianlah, besarnya makna 9 Dzulhijjah buat hamba-hamba Allah yang benar-benar menghayatinya. Sebuah kisah cinta dua insan yang diabadikan oleh Allah dan di hari itu juga Dia hadir untuk melimpahkan cintaNya buat seluruh hamba-hambaNya sama ada yang pergi menunaikan haji atau pun tidak. Namun, kebanyakan daripada kita hanya melihat hari 'Arafah sebagai ahri yang hanya signifkan buat jemaah haji semata-mata tanpa cuba untuk menyelami ruh haji bagi yang tidak perhi menunaikan haji. Semoga kita termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba melakukan amal kebajikan.

Sama-samalah kita bermujahadah mendapatkan kelebihan hari 'Arafah pada 9 Dzulhijjah 1436H bersamaan hari Rabu, 23 September 2015. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung...Fastabiqul khairat...



Pengajaran Daripada Hari Arafah

Terlalu banyak pengajaran hari Arafah yang boleh dipelajari, di antaranya adalah :


1. Hari Peringatan

Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan : “Siapa yang merasa dia tentu tahu”

Ini adalah hari seumpama hari perhimpunan terbesar seperti dalam firmanNya :

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَ‌ةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ

“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103)


2. Rahmat Tanpa Batas/Sempadan


Di Arafah terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun.

Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah dan tidak juga di antara kedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.


3. Menyaksikan Penyatuan Umat


Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT :


وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَ‌اهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِ‌كْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ‌ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّ‌كَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾ وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِ‌جَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ‌ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” (Surah Al-Hajj: 27-28)


Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.


Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik….” Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.



Berpuasa di Hari Arafah


Niat Puasa Hari Arafah




Hadis Berpuasa Arafah

Riwayat dari Abu Qatadah,dia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa dua tahun yang telah lewat dan yang akan datang, dan Puasa Assyura (tanggal 10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang telah lewat.”
(HR. Muslim).

Keistimewaan Puasa Arafah adalah:
1. Allah SWT mengampuni dosa-dosanya selama dua tahun, tahun lalu dan yang akan datang.
2. Allah SWT menjaganya untuk tidak berbuat dosa selama dua tahun
3. Pembebasan dari api neraka nanti.

Doa di Hari Arafah
Sudahkah anda membuat senarai doa yang mahu anda pohon kepada Allah? Berikut adalah beberapa doa yang anda boleh masukkan dalam senarai anda, Insya Allah:



1. Ya Allah kurniakanlah padaku Kejayaan terbesar - selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus


2. Ya Allah masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yg beriman.. yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.


3. Ya Allah, Kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah (saw).


4. Ya Allah masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah (saw), keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.


5. Ya Allah selamatkanlah rakan-rakan bukan Islam saya dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.


6. Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata keranaMu.


7. Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.


8. Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.


9. Ya Allah, apabila aku mati, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi.


10. Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.


11. Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindingi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari Arash Mu.


12. Oh Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Janganlah ada keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaan Mu, kehebatan Mu dan kekuasaan Mu.


13. Ya Allah tingkatkanlah kecintaanku untuk Mu dan Nabi Mu (saw).


14. Ya Allah ampunilah aku dan tingkatkanlah kurnian Rahmat dan Rezeki Mu


15. Ya Allah berilah aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanmu.


16. Ya Allah ya Rabb, sucikan niatku hanya untuk Mu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.


17. Oh Penciptaku dan Tuhanku, jangan biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.


18. Oh Tuhanku, jadikanlah aku dari orang-orang yang sabar dan patuh kepada Mu dan kepada ibu bapaku.


19. Selamatkanlah aku dari Fitnah Dajjal.


20. Selamatkanlah aku dari azab kubur dan azab api neraka.


21. Ya Allah, tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja Sadakatul Jariah.


22. Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.


23. Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkanlah bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.


24. Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dari Mu Ya Allah.


25. Ya Allah tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepada Mu.


26. Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.


27. Ya Allah, izinkan aku dan pasanganku menjadi antara jemaah menunaikan Haji.


28. Ya Allah lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.


29. Ya Allah ampuni dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.


30. Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.


31. Ya Allah berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.



اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن


Semoga amalan kita bertambah dari tahun yang telah lalu dan dosa kita diampunkan oleh Allah. Gunakanlah segala peluang yang ada demi menambah lagi bekal akhirat kita sebelum bertemu Allah di hari yang tidak ada pertolongan lain selain mereka yang menemuiNya dalam keadaan hati yang bersih dan selamat daripada kekotoran dosa dan noda.


Penutup


Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang menerima hamba-hambaNya pada hari Arafah dengan kemurahan hatiNya dan melimpah kurniaNya kepada mereka, kerana memberikan mereka yang terbaik berbanding yang diberikan kepada orang-orang yang meminta lainnya. Allah SWT akan mengampuni segala dosa, menyembunyikan kecacatan dan melepaskan segala kesusahan mereka di akhirat nanti. Wahai para sahabat yang disayangi, bertakarublah kepada Allah SWT dengan ketakwaan sebenarnya:




يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Al-Imran: 102).




Sekian.
Terima kasih kerana sudi membaca :)


Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain.
Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat.
Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
Sedekah/amal jariahnya.
Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain

No comments:

Post a Comment